Wikipedia:Calon rencana pilihan/Ogos 2023
Banjir Malaysia 2021–2022 merupakan kejadian banjir yang melanda kawasan Semenanjung Malaysia pada Disember 2021. Banjir ini berlaku susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia berikutan lalunya sebuah lekukan tropika (nama rasmi Lekukan Tropika 29W) yang merentasi semenanjung dari Laut Cina Selatan. Di samping musim monsun serta kejadian air pasang, banjir mula terbit di beberapa negeri, secara ketaranya di kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur.
Banjir di Lembah Klang merupakan banjir yang paling ketara memandangkan Lembah Klang lazimnya tidak menerima masalah banjir akibat monsun seperti kawasan Pantai Timur. Hal ini menyebabkan puluhan ribu orang awam terpaksa dipindahkan. Setakat 21 Disember, sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dengan beberapa orang hilang. Sifat banjir ini yang tidak terjangka, terutamanya di Lembah Klang disifatkan sebagai antara banjir-banjir terburuk dalam sejarah Malaysia moden, dan digelarkan sebagai "banjir seratus tahun" oleh pihak kerajaan.
Banjir ini mencetuskan darurat kemanusiaan yang besar yang dipikul melalui kerjasama daripada pihak kerajaan dan orang awam. Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan yang dilihat sambilewa, berat sebelah dan narsisistik mendatangkan kritikan pelbagai pihak. Respons yang lambat dan huru-hara ini telah membuka ruang kepada berlakunya kegiatan jenayah seperti penjarahan kedai barangan. Sementara itu, golongan pakar mengutarakan kejadian ini sebagai suatu cuaca ekstrem akibat perubahan iklim dunia yang semakin menjadi-jadi. (Ŵelengani nkhani yose...)